Akhirnya, seorang anggota tentera berpangkat sarjan didakwa di Mahkamah
Majistret hari ini atas tuduhan membunuh seorang kerani sekolah dalam
kejadian letupan bom dalam bungkusan, pada 11 Ogos lepas.
Che Rusli (Tertuduh) Masih Mampu Bertenang dan Tersenyum Kepada Wartawan Ketika Dibawa Keluar Dari Mahkamah
Che Rosli Che Daud, 29, yang bertugas di Batalion 21 Rajimen Askar
Melayu Diraja (RAMD) Pengkalan Chepa, Kota Baharu, didakwa membunuh Mohd
Yusrizal Mat Zain, 32, antara 10 pagi dan 11 pagi, di sebuah rumah di
Lot 127, Blok N, Perumahan JPN Kok Seraya, Chabang Empat di Tumpat.
Dia yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa
hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan, kelihatan tenang ketika
pertuduhan dibacakan.
Tiada pengakuan direkodkan ketika pertuduhnan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Adha Amir Yasser Amri.
Mahkamah menetapkan 1 Okt depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan
bagi membolehkan pihak pendakwaan menyerahkan dokumen berkaitan kepada
peguam.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nor Hamizah Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Sukri Mohamed.
Dalam Kejadian itu, Mohd Yusrizal yang merupakan kerani Sekolah
Kebangsaan Manek Urai, Kuala Krai, maut dengan kedua-dua tangannya putus
ketika mengambil bungkusan mengandungi bahan letupan yang ditinggalkan
di atas sebuah kenderaan pelbagai guna di halaman rumah mentuanya.
Berikutan kejadian itu, polis Kelantan menubuhkan sebuah pasukan khas
bagi menyiasat kejadian tersebut yang membawa kepada penahanan suspek.
Tiada ulasan :
Catat Ulasan