Arsenal kembali ke puncak EPL
RAI: Pemain Arsenal, Mathieu Flamini (kanan) merayakan jaringannya ketika menentang Newcastle bersama rakan sepasukan, Cesc Fabregas dalam saingan Liga Perdana Inggeris, kelmarin. Arsenal menang 3-0. |
LONDON: Arsenal kembali ke tangga teratas Liga Perdana Inggeris, awal pagi semalam, hasil kemenangan 3-0 ke atas Newcastle - kejayaan kedua ke atas Magpies dalam tempoh empat hari.
Emmanuel Adebayor, Mathieu Flamini dan Francesc Fabregas menyumbang jaringan buat Arsenal, yang menundukkan Newcastle 3-0 Sabtu lalu pada aksi pusingan keempat Piala FA. Kejayaan itu menyaksikan Arsenal kini mengumpul 57 mata, tiga mengatasi Manchester United.
United bagaimanapun mampu kembali merampas kedudukan teratas jika menang ke atas Portsmouth, awal pagi tadi.
"Bagi kami, ia kemenangan bagus dan kita lihat apa mereka akan lakukan esok," kata pengurus Arsenal, Arsene Wenger. "Masih terlalu jauh untuk bergantung kepada satu keputusan. Apa yang penting buat kami ialah berada pada kedudukan sama dengan United dan Chelsea menjelang April, jadi kami perlu konsisten dan memenangi setiap perlawanan."
Keputusan aksi lain kelmarin ialah Bolton seri 0-0 dengan Fulham, Middlesbrough mengatasi Wigan 1-0 dan Sunderland menang 2-0 ke atas Birmingham.
Perlawanan lain awal pagi tadi ialah Chelsea melawan Reading, Derby County bertemu Manchester City, West Ham menentang Liverpool serta Everton melayan Tottenham Hotspur.
Adebayor menanduk masuk gol pendahuluan Arsenal pada minit ke-40 selepas menyempurnakan umpanan lintang Flamini. Ia adalah gol ke-16nya dalam liga musim ini.
Flamini menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-72 menerusi rembatan deras jarak jauh. Fabregas pula diumpan Nicklas Bendtner untuk gol ketiga pada minit ke-80.
Pemain tengah Newcastle, Joey Barton masuk sebagai gantian pada minit ke-57 � aksi pertamanya sejak 23 Disember. Dia ditahan pada 27 Disember dan didakwa kerana terbabit dalam serangan di luar sebuah restoran makanan segera. Dia kini dibebaskan dengan ikat jamin ketika menanti tindakan seterusnya.
Pengarah Eksekutif Newcastle yang baru, Dennis Wise hadir menyaksikan perlawanan itu selepas perpindahan mengejutnya daripada Leeds, Isnin lalu.
Pengurus, Kevin Keegan berkata, tugas yang bakal dilaksanakan Wise ditentukan sebelum dia menyertai kelab itu pada 16 Januari lalu.
"Ia memang secara terbuka. Saya tahu apa Dennis akan lakukan dan idea kehadirannya memang bagus - untuk mencari pemain baru, mengasuh pemain muda dan melakukan perkara yang ketika ini kurang diberi tumpuan oleh akademi kami," katanya. - AP
Tiada ulasan :
Catat Ulasan