Rabu, 30 Januari 2008

Tawaran Hebat







AirAsia beri tiket percuma, MAS tawar harga murah

KUALA LUMPUR: AirAsia Bhd menawarkan 300,000 tempat duduk percuma mulai akhir bulan depan hingga pertengahan Mei, manakala Penerbangan Malaysia (MAS) memberi diskaun sehingga 70 peratus bagi enam juta tempat duduk sepanjang tujuh bulan sehingga September, dalam usaha mereka menarik lebih ramai penumpang.

Dalam kenyataan semalam, AirAsia berkata, tawaran tempat duduk percuma itu dibuat bagi penerbangan dari habnya di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching untuk perjalanan antara 26 Februari hingga 15 Mei.

Promosi itu yang dilancarkan kelmarin, ditawarkan secara eksklusif bagi tempahan menerusi dalam talian sehingga 3 Februari ini di laman web www.airasia.com bagi menghargai sokongan berterusan pelanggan yang menjadikannya sebagai syarikat penerbangan pilihan.

Sebanyak 75,000 tempat duduk dilanggan pada hari pelancarannya. Antara destinasi yang menjadi pilihan pelanggan termasuk Bangkok, Hanoi, Macau, Phuket, Singapura, Kota Kinabalu dan Kuching.

AirAsia turut memasukkan dalam promosi tempat duduk percuma itu laluan baru dilancarkan, iaitu Johor Bahru-Bangkok.

Laluan itu yang akan memulakan perkhidmatan 25 Februari ini, akan menjadi laluan antarabangsa keempat bagi penerbangan dari Johor Bahru, selepas Palembang, Macau dan Jakarta.

Perkhidmatan itu disediakan empat kali seminggu setiap Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad.

MAS dalam kenyataannya pula, berkata diskaun 70 peratus itu ditawarkan sepanjang dua hari Pesta Pengembaraan Penerbangan Malaysia (MATF) mulai 22 Februari.

Sebagai menyokong Tahun Melawat Malaysia 2008 pula, pakej domestik pada harga menarik ditawarkan menerusi Golden Holidays Penerbangan Malaysia.

Tambang rendah itu termasuk ke destinasi terbarunya, Macau dan Yogyakarta serta kekerapan penerbangan tambahan ke destinasi Asia Selatan seperti Chennai, Delhi dan Bangalore.

Tambang menarik juga ditawarkan ke Timur dan destinasi tradisional pilihan MATF seperti London, Amsterdam, Melbourne dan Perth.

MAS turut menawarkan promosi “Beli 1 dapat 1 percuma” bagi tempat duduk kelas perniagaan untuk laluan ke bandar raya Asean serta ke Xiamen, Kunming dan Macau.

Sebagai menyokong Tahun Melawat Malaysia 2008 pula, pakej domestik pada harga menarik ditawarkan menerusi Golden Holidays Penerbangan Malaysia.

Tiket itu boleh dibeli menerusi ejen pelancongan MAS yang hadir pada pesta yang berlangsung di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kuala Terengganu serta Kota Kinabalu dan Kuching.

Tiada ulasan :