Sabtu, 26 Januari 2008

Gerakan kesan Sharlinie belum berhasil

PETALING JAYA 26 Jan. – Polis masih gagal menemui petunjuk bagi mengesan Sharlinie Mohd. Nasar yang hilang sejak 9 Januari lalu, walaupun operasi dari rumah ke rumah semakin giat dijalankan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamad berkata, polis bagaimanapun akan meneruskan pemeriksaan dari rumah ke rumah itu kerana selain untuk mengesan Sharlinie, ia juga dapat mencegah pelbagai aktiviti jenayah lain.

Sebagai contoh, katanya, polis telah menahan 185 pendatang tanpa izin (PATI) sepanjang operasi itu dijalankan di sekitar Taman Medan, sejak enam hari lalu.

“Terbaru ialah 69 lelaki dan lima wanita berusia 20 hingga 40 tahun yang ditahan di sekitar Taman Medan pada pukul 6 pagi semalam,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini hari ini.

Beliau berkata, kesemua mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan diserahkan Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.

‘‘Objektif utama kita adalah mencari Sharlinie, tetapi kita tetap menahan mereka yang melakukan kesalahan untuk diserahkan kepada jabatan berkenaan bagi siasatan dan tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen,’’ katanya.

Sharlinie, 5, hilang ketika dalam perjalanan pulang dari taman permainan di Taman Medan pada 11.30 pagi, 9 Januari lalu.

Sementara itu beliau berkata, polis turut menahan dua lelaki warga asing yang dipercayai terlibat dengan beberapa kes samun ketika rondaan di Seksyen 13, Sea Park pada pukul 10.40 pagi, semalam.

‘‘Hasil pemeriksaan di rumah itu kita menemui parang dan topeng yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah dan samun,’’ ujarnya.


Tiada ulasan :