Kurup dilempar botol selepas diisytihar menang
SUMBER DARIPADA : BERITA HARIAN
NABAWAN: Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup, yang diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi kerusi Parlimen Pensiangan, dilempar botol air dan dipercayai ditumbuk pihak tidak berpuas hati dengan keputusan itu.
Ketika kejadian itu berlaku di luar Dewan Serbaguna Nabawan di sini, semalam, Kurup dipercayai berjalan ke keretanya selepas Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Bubudan OT Majalu, mengumumkan beliau menang tanpa bertanding jam 1.30 tengah hari.
Terdahulu, keadaan dalam dewan berkenaan kecoh sebaik calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Danny Anthony Andipai, dan calon Bebas, Saineh Usau, mendapat tahu pencalonan mereka ditolak apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima bantahan peguam Kurup.
Peguam Kurup membantah dengan alasan Danny dan Saineh mengemukakan kertas pencalonan melebihi waktu dibenarkan kerana ia sepatutnya dilakukan antara jam 9 hingga 10 pagi.
Dalam keadaan kecoh itu, Danny dan Saineh menemui Bubudan bagi mendapat kepastian sebelum dimaklumkan kertas pencalonan kedua-duanya dikemukakan selepas jam 10 pagi.
Bagaimanapun, kedua-duanya mendakwa berada dalam dewan berkenaan sebelum jam 10 pagi dan sudah membayar deposit, tetapi lewat mengemukakan kertas pencalonan.
Keadaan itu menyebabkan Danny memanggil penyokongnya ke dalam dewan tetapi keadaan berjaya dikawal polis. Suasana bertambah kecoh selepas Kurup diumum menang tanpa bertanding dan dilempar botol air, dicaci serta dikatakan ditumbuk.
Kurup membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Keningau kira-kira jam 3.30 petang.
Tiada ulasan :
Catat Ulasan