Jumaat, 29 Februari 2008

SENARIO POLITIK DI SARAWAK....!!



vs


BN nafi beli calon PKR

Barisan Nasional hari ini menafikan sekeras-kerasnya cuba membeli calon-calon PKR di Sarawak, kata satu panel peguam BN Sarawak.

Panel itu, yang dianggotai senator Datuk Idris Bujang dan Datuk Peter Minos, mendesak pengerusi perhubungan PKR Sarawak Dominic Ng Kim Ho agar menunjukkan bukti bahawa calon-calon parti pembangkang itu di Santubong, Kota Samarahan, Batang Sadong, Julau dan Lawas cuba dibeli agar menarik diri.

Ng, penyandang kerusi negeri Padungan, sebelum ini berkata beliau akan melaporkan rasuah yang berjumlah hampir RM1.5 juta kepada Badan Pencegah Rasuah.

“Kemenangan lima calon BN menjadi bukti kukuh betapa BN itu kuat dan yakin akan meraih lebih banyak kemenangan tanpa perlu menggunakan kegiatan sekeji itu," kata panel itu dalam sidang media di Kuching, lapor laman web The Star.

Malaysiakini semalam melaporkan calon PKR di Santubong, Rahamat Idil Latip, mendakwa beliau didekati untuk dibeli dengan wang tunai RM300,000.

Sementara calonnya di Kota Samarahan, Hussain Abang Apok, pula mendakwa diugut kerana enggan menyertai proses rundingan untuk penarikan diri.

Beliau telah melaporkan kejadian itu kepada polis dan kini dalam proses siasatan.

BN Sarawak memperolehi lima kerusi tanpa bertanding sejak hari pencalonan Ahad lalu. Kelima-lima kerusi itu:

  • Norah Abdul Rahman - Tanjung Manis, Sarawak (PBB)
  • Datuk Wahab Dolah – Igan (PBB)
  • Aaron Ago Dagang - Kanowit, Sarawak (PRS)
  • Joseph Entulu Belaun - Selangau, Sarawak (PRS)
  • Alexander Nanta Linggi - Kapit, Sarawak (PBB)

Timbalan presiden PKR Dr Syed Husin Ali juga mendakwa calon-calon parti itu didekati pihak-pihak yang cuba mendesak mereka menarik diri dengan ganjaran wang sehingga RM1 juta.
sumber daripada: malaysia kini


Dua calon PKR dikejar 'pembeli'

Abdul Hakim Bujang & Tony Thien | Feb 28, 08 9:18pm
Telefon tangan Rahamat Idil Latip terus berdering-dering walaupun ketika diwawancara Malaysiakini.

"Mereka kejar saya sejak hari penamaan calon. Mulanya mereka mencari di sekeliling kampung bakal calon, pencadang dan penyokong.

"Kini mereka pergi selangkah lagi - menawarkan saya wang tunai RM300,000 agar menarik diri," kata Idil sewaktu bersarapan dekat pejabat PKR di Matang, Kuching.

Idil, calon Santubong, mencabar BN-PBB Wan Junaidi Tuanku Jaafar, penyandang selama empat penggal di kerusi parlimen itu. Idil juga ketua angkatan muda PKR Sarawak, manakala Wan Junaidi pula ahli majlis tertinggi PBB yang dilantik.

"Saya katakan pada mereka RM300,000 itu terlalu sedikit ... tidak cukup untuk hidup, dan dengan berjenaka kata pada mereka agar membeli saya RM3 juta. Mereka fikir saya serius, dan berkata akan membincangkan perkara itu dengan orang atasan mereka," tambah Idil.

Idil sedang memikirkan langkah selanjutnya tetapi perkara itu sengaja dirahsiakan.

Seorang lagi calon PKR, Hussain Abang Apok, telah membuat laporan polis selepas menerima ugutan melalui SMS malam tadi kerana enggan berunding tentang penarikan dirinya.

PKR kini bersaing tiga penjuru di Kota Samarahan dengan calon BN-PBB Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib, anak korporat ketua menteri Abdul Taib Mahmud, dan calon bebas.

Menurut jurucakap rasmi parti itu, Hussain menerima satu panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai Zaiton untuk berunding agar beliau menarik diri daripada bertanding di situ tetapi beliau menolak.

Kemudian muncullah SMS ugutan dari nombor telefon yang sama.

Pada 9 malam, Hussain dengan beberapa penyokong ke balai polis untuk membuat aduan.

Polis setakat ini menyimpan kad SIM telefon Hussain untuk siasatan.

Sulaiman pertama kali bertanding, mewarisi kerusi itu daripada bapanya yang memegang kerusi itu selama hampir empat puluh tahun. Taib Mahmud menang tanpa bertanding pada 2004.

Kota Samarahan mempunyai 24,412 pengundi berdaftar, hampir 50 peratus Iban manakala suku Melanau pula 40 peratus.

Dalam peraturan pilihanraya, calon-calon dibenarkan menarik diri sehingga 12 tengah malam tadi, tiga hari selepas penamaan calon Ahad lalu.

Sementara itu Idil memperkecilkan dakwaan Junaidi bahawa di kawasan itu tidak ada isu yang boleh dibangkitkan pembangkang.

"Banyak isu - pemansuhan hak-hak adat, isu tanah dan rancangan pembangunan sifar," katanya, sekadar menyebut beberapa isu.

Beliau memberi contoh Kawasan Perindustrian Bako - selepas siap beberapa tahun dulu, kebanyakan kilang di situ masih lagi kosong.

"Projek ini bernilai jutaan ringgit. Saya fikir tidak lebih lima lot kilang dan satu lot kedai sudah diduduki, selebihnya menjadi sarang menternak nyamuk,” katanya.

Idil juga berkata penduduk Kampung Muhibbah di Pending masih menunggu sebuah jeti batu dibina - bukan setahun atau dua, tetapi sudah lima puluh tahun.

"Pergi ke Kampung Tabuan dan lihat sendiri betap buruknya sistem perparitannya, yang menjadi wabak denggi, sementara masalah sosial di Demak Laut telah mencecah peringkat kronik," katanya lagi.

Di Santubong, 91.1 peratus pemilihnya Melayu/Melanau, 5.3 peratus Cina dan 2.3 Iban daripada jumlah 30,836 orang.

sumber : malaysia kini

Tiada ulasan :