Selasa, 5 Februari 2008

petikan berita harian.

Kes Sharlinie: Polis guna pakar luar cari Sharlinie

Usaha merungkai kebuntuan kes budak hilang

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memutuskan untuk mendapatkan kepakaran luar negara bagi membantu siasatan kes Sharlinie Mohd Nashar, 5, yang hilang sejak 9 Januari lalu.

Ini kali kedua PDRM mendapatkan bantuan asing dalam siasatan kes jenayah membabitkan atas kanak-kanak selepas kes penculikan dan pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd Bakri Zinin, berkata pihaknya sedang berbincang dengan pihak luar terbabit bagi mendapatkan bantuan mereka, yang mungkin dapat merungkai kebuntuan kes itu.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan pihak luar terbabit atau kepakaran dimiliki mereka.

"Kes Sharlinie ini adalah kes yang membabitkan kepentingan awam, jadi kita minta bantuan pakar dari luar negara untuk melihat mana lagi (ruang siasatan) yang kita belum sentuh.

"Kita sedang berbincang dengan pihak luar berkenaan... kemungkinan besar mereka akan datang ke sini," katanya ketika ditemui pemberita di Bukit Aman di sini, semalam.

Dalam kes Nurin Jazlin, PDRM mendapatkan bantuan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat bagi meningkatkan kualiti imej rakaman kamera litar tertutup (CCTV) merakamkan gambar seorang lelaki bermotosikal membawa beg sukan dipercayai mengandungi mayat kanak-kanak itu yang diletakkan di premis di Taman Petaling Utama, 16 September lalu, sebelum ditemui sehari kemudian.

Mengulas lanjut kes Sharlinie, Mohd Bakri berkata, beliau tidak boleh memberikan butiran terperinci mengenai siasatan kerana tidak mahu usaha mencari kanak-kanak itu terjejas, jika orang yang melarikannya tahu apa yang mahu dilakukan polis.

Beliau berkata, polis optimis akan dapat menyelesaikan kes itu, tetapi cuma masa yang akan menentukannya.

"Setiap hari kita berbincang kes ini, termasuk menentukan motif. Jadi kita bukan tidur atau duduk diam, setiap malam kita buat perancangan dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) sentiasa bergerak," katanya.

Tiada ulasan :