Bagaimanapun kali ini mereka menggunakan taktik baru dengan mangsa tidak perlu lagi menggores kad.
Tinjauan di sebuah kawasan pasar raya dekat sini kelmarin mendapati, 'ulat-ulat' syarikat jualan langsung kini memujuk pelanggan dengan menawarkan risalah harga promosi barangan dari kilang.
Modus operandinya mengajak mangsa pergi ke pejabat untuk mengambil barangan yang ingin dibeli dan kemudian ditawarkan pula dengan hadiah lumayan.
"Abang boleh beli barang yang terdapat dalam risalah ini dan boleh ambil di pejabat kami.
"Dekat sana nanti staf kami akan bagi risalah lain yang mengandungi hadiah lumayan, kalau bertuah boleh dapat kereta," kata remaja yang bekerja dengan syarikat terbabit sambil memegang beberapa keping risalah.
Katanya, barangan hanya boleh diambil di pejabatnya yang terletak berhampiran Jusco Selayang atas alasan tidak ada perkhidmatan penghantaran dibuat ke rumah pelanggan.
Sementara itu, seorang suri rumah yang ditemui, Suzie Suhaimi, 35, berkata, dia pernah menjadi mangsa kumpulan terbabit dan diminta membuat bayaran tertentu jika mahu menebus hadiah.
"Cara mereka mencurigakan kerana lepas kita bayar, hadiah hanya boleh ditebus selepas satu bulan," katanya.
Pesara guru, Mokhtar Bohari pula mengakui pernah dimaki hamun oleh sekumpulan remaja setelah tidak mempedulikan pelawaan mereka untuk membeli barangan.
Katanya, mereka mengetuk cermin kereta dan jika pintu dibuka, mereka akan terus menyerbu mangsa seperti memaksa agar mengisi borang pembelian.
"Cara mereka yang kasar itu sudah menunjukkan ada sesuatu yang tak kena," jelasnya.
Tiada ulasan :
Catat Ulasan