Jumaat, 11 April 2008

KANAK-KANAK PEREMPUAN SUDAH TIDAK SELAMAT LAGI


Lelaki cuba larikan budak ditahan

Berita Harian 11 April 2008. SEREMBAN: Polis menahan
seorang lelaki berusia 40-an selepas didakwa cuba
melarikan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga
tahun di kawasan perumahan Garden Homes, Seremban 2,
dekat sini lewat petang, kelmarin.

Lelaki terbabit yang dipercayai mengalami masalah
mental diberkas penduduk kawasan perumahan itu selepas
mendengar jeritan meminta tolong daripada ibu mangsa
dalam kejadian jam 7 petang itu.

Noor Bazuraini Abdullah, 29, berkata, dia berbual
dengan jirannya di luar rumah, manakala tiga anak
perempuannya berusia 10, tujuh dan tiga tahun berada
di halaman dengan pintu pagar terbuka.

Katanya, tiba-tiba anak bongsunya, Amira Nor Nasyifa
Zulhaimi menjerit apabila seorang lelaki berseluar
pendek dipercayai berketurunan Cina menghampiri dan
merangkulnya.

Nor Bazuraini berkata, dia menjerit meminta tolong,
manakala seorang anaknya, Amira Husna, 11, menarik
baju lelaki terbabit yang bagaimanapun berjaya
melepaskan diri sambil mengendong Amira Nor Nasyifa.

"Lelaki itu memegang leher dan perut Amira Nor Nasyifa
sambil berlari. Keadaan ketika itu menakutkan dengan
anak perempuan saya itu menjerit ketakutan," katanya
ketika ditemui petang semalam.

Beberapa jiran yang menyedari kejadian mengejar lelaki
terbabit dan memberkasnya 10 minit kemudian sebelum
menghubungi polis.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh,
ketika ditemui mengesahkan polis menahan seorang
lelaki yang disyaki cuba melarikan seorang kanak-kanak
perempuan.

Tiada ulasan :