Ahad, 9 Mac 2008

10/03/2008

BN harus muhasabah diri

KUALA LUMPUR 9 Mac - Kepimpinan Barisan Nasional (BN) perlu segera bangun dari lena untuk memahami isyarat yang cuba disampaikan oleh pengundi selepas parti itu mencatat kekalahan terburuk dalam sejarah pada Pilihan Raya Umum Ke-12 semalam.

Para pemimpin dan bekas pemimpin UMNO menyifatkan kekalahan itu termasuk buat kali pertama gagal mendapat majoriti dua per tiga juga petanda pengundi semakin bijak menilai dan tahu apa yang mereka mahukan daripada kerajaan.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, BN kini sedang berhadapan dengan keadaan ketidaktentuan kerana tidak pernah menghadapi pengalaman sebegini teruk sebelum ini.

Menurut beliau, kewajaran dan kekuatan BN dan UMNO yang selama ini, menjadi ini asas penyatuan dan kejayaan pembangunan rakyat Malaysia kini sedang dipersoalkan oleh rakyat.

Katanya, keputusan pilihan raya telah menunjukkan BN mencatatkan rekod kehilangan kerusi di Dewan Undangan Negeri paling banyak kepada parti pembangkang termasuk kerusi-kerusi utama di negeri yang ditandingi oleh Perdana Menteri.

''Walaupun kita memenangi kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan melalui majoriti mudah tetapi kehilangan kerusi, khususnya di negeri-negeri yang memiliki majoriti Melayu seperti di Kedah dan Kelantan akan menyebabkan rakyat mempertikaikan peranan UMNO dalam mewakili orang Melayu.

''Parti komponen BN pula sudah kehilangan peranan mereka sebagai wakil kaum-kaum lain di negara ini,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid berkata, kekalahan teruk BN berpunca daripada sikap para pengundi yang semakin bijak menilai.

Katanya, para pengundi bukan sahaja menilai melalui percakapan atau perbuatan, sebaliknya lebih menjurus kepada ketelusan, kebenaran, pelaksanaan dan penyampaian yang lebih baik.

''Pilihan raya umum kali ini mencerminkan arus perubahan yang hebat. Saya percaya BN kena melihat semula cara pendekatan melibatkan semua aspek termasuk dasar dan cara kita bertindak. Sistem penyampaian BN perlu melihat isu dan rintihan rakyat.

''Gelombang yang kita lihat juga satu amaran kepada UMNO dan ahli UMNO semua peringkat harus muhasabah diri serta menerima kenyataan. Jika perlu ia harus ada perubahan dalam UMNO itu sendiri," katanya.

MengakuiKetua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, BN perlu mengakui wujud kelemahan dalam kempen parti itu sehingga menyebabkan ia kalah di banyak negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-12.

''Kita menerima keputusan rakyat dan sedang mengkaji kelemahan itu supaya kita dapat melakukan lebih baik untuk mendapat sokongan daripada mereka.

''Tumpuan harus diberikan bagi mengetahui kehendak rakyat dan perlu bekerja lebih kuat untuk memenuhinya,'' katanya.

Muhammad berkata, kekalahan mengejut BN di beberapa negeri tidak harus dijadikan alasan untuk ia tidak meneruskan usaha bagi menyelesaikan segala masalah rakyat.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, BN perlu mengakui mereka telah melakukan kesilapan strategi dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-12.

Beliau berpendapat, rakyat telah menolak BN terutamanya dalam dasar-dasar kerajaan yang dianggap tidak sesuai dan harus diberi perhatian yang serius untuk mengembalikan kekuatan BN.

"Kita perlu akui rakyat telah memberikan satu mesej jelas terhadap keputusan pilihan raya kali ini yang mana mereka telah menolak beberapa dasar kerajaan yang dianggap tidak berkenan.

"Pada masa yang sama, ada faktor-faktor dalaman perlu diambil kira seperti pemilihan calon yang dianggap satu punca penolakan rakyat terhadap BN kerana mereka mempunyai pengaruh yang tersendiri," katanya.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Rafidah Aziz berkata, BN perlu mengkaji semula punca yang menyebabkan ramai calonnya mengalami kekalahan mengejut sehingga mengakibatkan ia gagal memperoleh majoriti dua pertiga buat kali pertama dalam sejarah pilihan raya negara.

Beliau yang berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Kangsar berkata satu 'post-mortem' perlu dilakukan supaya perkara itu tidak berulang di masa akan datang.

Rafidah yang memperoleh 10,735 undi menewaskan pencabarnya Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak Dr. Khairuddin Abdul Malik yang mengutip 9,277 undi bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar.

Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Sabbaruddin Chik berkata, pimpinan BN perlu memahami isyarat yang cuba disampaikan oleh para pengundi selepas parti itu gagal membentuk kerajaan dengan mudah.

''Yang penting, kerajaan (BN) mesti ambil perhatian bahawa 'ada sesuatu yang tidak kena' mungkin berkaitan rasuah atau mereka sudah bosan dengan calon yang terlalu lama atau ada janji yang tidak tertunai.

''Ini semua mesti diambil kira dengan sensitif, kegagalan BN (memperoleh majoriti dua pertiga) merupakan pengajaran baik untuk tampuk kepimpinannya,'' katanya kepada.

Sementara itu, bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Aishah Ghani berkata, apa yang berlaku membuktikan para pengundi kini lebih sensitif terhadap isu-isu semasa yang berkaitan kehidupan mereka berbanding dahulu.

Katanya, perhitungan pengundi juga kini dilihat jauh berbeza sehingga sanggup mengenepikan calon kuat BN termasuk Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di Lembah Pantai yang merupakan antara wakil rakyat paling 'rajin' dan mempunyai sokongan kuat.

Pakar sejarah negara, Datuk Profesor Ramlah Adam berpendapat, kegagalan BN mendapatkan majoriti dua pertiga itu mencerminkan kerajaan sedia ada tidak menerima sokongan menyeluruh rakyat.

''Kecenderungan rakyat memilih calon pembangkang yang hebat, berpengalaman, berilmu dan merupakan pemidato yang hebat menggambarkan pandangan pengundi sekarang (muda) yang jauh berbeza daripada dahulu.

''Selain itu, generasi kini juga yang merasakan calon-calon muda yang cuba ditonjolkan UMNO tidak relevan menyebabkan mereka beralih kepada kelompok (luar UMNO),'' katanya.

Tiada ulasan :