DAP, PKR setuju tubuh kerajaan negeri di Pulau Pinang
PULAU PINANG 9 Mac — DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang memenangi 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada pilihan raya umum ke-12, mengumumkan awal pagi ini persetujuan mereka untuk menubuhkan kerajaan negeri.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata oleh kerana parti itu memenangi jumlah kerusi terbanyak iaitu kesemua 19 kerusi yang ditandinginya, maka beliau akan menjadi Ketua Menteri.
PKR memenangi sembilan daripada 16 kerusi DUN yang ditandinginya, manakala PAS mengekalkan kerusi DUN kawasan Permatang Pasir dan kalah empat kerusi lain.
“DAP ingin mengumumkan bahawa kami akan membentuk kerajaan baru Pulau Pinang dengan kerjasama dan secara gabungan dengan PKR, sebuah kerajaan bagi semua rakyat Malaysia yang terdiri daripada orang Melayu, Cina, India dan kaum lain.
“Kami ingin menegaskan bahawa kami tidak akan memerintah secara bersendirian, tapi bersama-sama dengan PKR. Kami juga berharap wakil rakyat PAS yang dipilih dapat membantu kerajaan ini,” katanya pada sidang akhbar bersama dengan PKR di sini.
PKR diwakili pemimpinnya di negeri ini Datuk Zahrain Hashim, yang memenangi kerusi Parlimen Bayan Baru setelah mengalahkan calon BN Ooi Siew Kim.
Lim, yang memenangi kerusi Parlimen Bagan dan kerusi DUN kawasan Air Putih, berkata DAP berasa rendah hati dengan sokongan yang diberi oleh pengundi hingga membolehkannya memenangi kerusi Parlimen dan negeri serta berikrar tidak akan mengecewakan rakyat Pulau Pinang.
Kata Lim, kemenangan itu bukan milik DAP dan PKR, tetapi milik rakyat Pulau Pinang seluruhnya.
Beliau berkata DAP juga mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan calonnya dan berharap mereka akan memainkan peranan secara serius sebagai pembangkang yang bertanggungjawab dan membina.
Kata Lim, parti itu mengucapkan terima kasih kepada anggota dan penyokongnya kerana telah memberi sokongan hebat hingga membolehkan DAP menubuhkan kerajaan negeri setelah berusaha selama 41 tahun.
Kata Lim parti itu berikrar akan berlaku adil dan tidak menindas mana-mana pihak serta membantu mereka yang memerlukan bantuan.
Beliau berkata parti itu juga berikrar akan membentuk sebuah kerajaan perpaduan, yang berasaskan kecintaan terhadap demokrasi dan menghormati hak asasi manusia, kesaksamaan dalam politik serta keadilan sosial.
“Kami mahu membuka lembaran baru dan menggesa semua pihak supaya menghormati hasrat rakyat Pulau Pinang untuk membina sebuah Pulau Pinang yang dinamik serta memenuhi cita-cita dan harapan kami agar Pulau Pinang sentiasa berada di hadapan,” katanya.
Sementara itu, Zahrain yang juga Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, berkata parti itu bersedia bekerjasama dengan DAP bagi menubuhkan kerajaan baru dan menerima Lim sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.
Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Ustaz Salleh Man pula berkata walaupun kerajaan baru Pulau Pinang akan diketuai DAP, parti itu akan memberi kerjasama penuh kepadanya dan berharap wakilnya akan diberi peluang menyandang jawatan exco yang bertanggungjawab bagi hal ehwal agama Islam.
— BERNAMA
Tiada ulasan :
Catat Ulasan