Sabtu, 8 Mac 2008

Pembangkang Hebat!!!

Pas mahu berkongsi kuasa dengan PKR

09/03/2008 7:12am

ALOR STAR 9 Mac — PAS Kedah akan mewujudkan kerajaan campuran dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas pakatan parti-parti pembangkang berjaya menawan Kedah dengan memenangi 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum ini.

Pesuruhjaya PAS negeri Azizan Abdul Razak berkata bagaimanapun kerajaan campuran itu tidak melibatkan DAP.

“Kita kerajaan campuran dengan PKR sahaja. DAP...jika dia tidak mahu duduk dalam kerajaan, dia jadi pembangkang lah. Tapi pembangkang yang rapat dengan PKR. Tapi kita (PAS) hanya dengan PKR,” katanya pada sidang akhbar bersama Pengerusi PKR negeri Zamri Yusuf di Kompleks Pas di Kota Sarang Semut di sini malam tadi.

PAS memenangi 16 kerusi DUN iaitu Ayer Hitam, Bukit Lada, Bukit Pinang, Alor Mengkudu, Anak Bukit, Kubang Rotan, Pengkalan Kundur, Tokai, Sungai Limau, Jeneri, Pantai Merdeka, Kupang, Kuala Ketil, Merbau Pulas, Bandar Baharu, dan Tanjung Dawai.

PKR menang empat kerusi DUN iaitu Bakar Arang, Sidam, Lunas, Kulim manakala DAP memenangi satu kerusi di DUN Kota Darul Aman.

Azizan berkata pihaknya berterima kasih kepada masyarakat yang memberi kepercayaan kepada parti pembangkang untuk menerajui negeri ini buat kali pertama.

“Kita berharap kita dapat kotakan apa yang dijanjikan kepada rakyat iaitu

“Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua,” kata beliau.

Mengenai pelantikan menteri besar yang baru, Azizan berkata beliau akan menghadap Sultan Kedah Sultan Abdul Halim esok untuk membincangkan mengenai perkara berkenaan dan segala keputusan bergantung kepada baginda.

Mengenai kemenangan besar PKR dan PAS, Azizan berkata kejayaan itu merupakan pencapaian yang baik walaupun parti itu menghadapi masalah teknikal pada peringkat awal.

Beliau berkata, kemenangan itu masih belum mencapai sasaran mereka kerana mensasarkan lebih banyak kerusi Parlimen dan DUN.

Ditanya jangkaan penerimaan masyarakat kepada kepimpinan pembangkang, Azizan mengambil contoh Kelantan yang masih boleh “survive” walaupun hak mereka dari kerajaan pusat dinafikan.

Sementara itu Zamri berkata mereka akan berbincang mengenai pelantikan menteri besar.

PKR akan membariskan lima Ahli Dewan Undangan Negerinya dalam Exco negeri tidak lama lagi apabila kerajaan campuran dengan PAS dibentuk.

— BERNAMA

Tiada ulasan :