Apakah motif DAP di Pulau Pinang?
Oleh ZULKIFLI JALIL
ISTERINYA, Betty Chew Gen Cheng (DAP) bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Kota Laksamana, Melaka. Keluarga dan anak-anaknya di Melaka.
Banyak masanya dihabiskan di Melaka sejak 'mengosongkan' kerusi Parlimen Kota Melaka bertahun-tahun lepas.
Tetapi secara tiba-tiba kali ini Lim Guan Eng berada di Pulau Pinang. Bertanding mencabar Barisan Nasional (BN) pula di kerusi Parlimen Bagan.
Sejak kempen Pilihan Raya Umum ke-12 memasuki hari kelapan semalam, Setiausaha Agung DAP itu dilihat kerap meninggalkan Bagan di tanah besar dengan 'berkubu' di bahagian pulau dengan sasaran utamanya George Town.
Umum mengetahui Pulau Pinang pernah menjadi kubu kuat DAP sehingga 1995. Rakyat juga sedar ideologi perjuangan DAP terarah untuk memastikan 'Malaysian Malaysia' di tangan. Dan sepanjang seminggu ini begitulah gelagat dan rentak DAP dalam siri kempennya di sekitar Georgetown. Yakni seolah-olah cuba meniup api perkauman di kalangan pengundi. Sasarannya ialah UMNO.
''(Jawatan) Ketua Menteri Pulau Pinang...sebelum ini ada spekulasi cakap Chia Kwang Chye, Teng Hock Nan (mengisi kekosongan itu), tiba-tiba muka depan akhbar Guang Ming Daily hari ini (1 Mac 2008) melaporkan satu lagi nama, Teng Chang Yeow.
''Jadi, dari mana (nama) Teng Chang Yeow ini datang? Disebut-sebut pemangku Ketua Menteri ialah Teng Hock Nan atau Chia Kwang Chye, tiba-tiba pula Teng Chang Yeow. Ini kerana Ketua Menteri (Tsu Koon) tiada kuasa untuk putuskan, akhir sekali serah pada UMNO untuk buat keputusan...Teng Chang Yeow," katanya ketika berucap di Stadium Tertutup Kolej Han Chiang dekat Penang Free School.
Sambil mengadu domba kononnya Pulau Pinang akan 'diambil alih' oleh UMNO, sentimen yang dimainkan oleh DAP terutama Guan Eng menggambarkan seolah-olah Pulau Pinang satu 'wilayah asing' yang memerlukan kuasa autonomi. Ia agak berbahaya jika elemen ini berterusan ditiupkan khususnya di kalangan pengundi bukan Melayu.
''Pulau Pinang sudah cukup panas, Pulau Pinang telah cukup sesak. Kita tidak perlukan projek berteknologi tinggi, tidak perlu projek penyelesai kesesakan, tapi kita perlu lebih banyak taman hijau," kata Guan Eng.
Ini bermakna DAP tidak 'ambil pusing' langsung mengenai projek Jambatan Kedua Pulau Pinang yang kosnya mencecah RM3 hingga 4 bilion ringgit. Juga, menolak projek monorel, jalan dan apa sahaja yang dibuat oleh kerajaan Pusat untuk kesejahteraan warga Pulau Pinang. Semua ini kerana politik.
Sekadar bertanya: Apakah motif DAP?
Tiada ulasan :
Catat Ulasan