Ahad, 9 Mac 2008

PANDANGAN PARTI KERAJAAN TENTANG ANUAR

‘Macam sesumpah, boleh bertukar warna’

Oleh ZULKIFLI JALIL

DI Jalan Padang Tembak, Air Itam, Pulau Pinang malam kelmarin, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tiba di padang letak kereta berkerikil kawasan perumahan di situ yang penuh sesak dengan lebih 5,000 penduduk Cina tepat pukul 9.57 malam.

Oleh kerana menunggu ucapan silih berganti daripada Penasihat Parti Gerakan, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik, disusuli Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting sebelum disambung pula Ketua Menteri Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, amanat Abdullah hanya dapat disampaikan beliau pada pukul 11.35 malam.

Ketiga-tiga pemimpin Cina tersebut sebelum itu menyorot kegagalan rekod perkhidmatan pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa dalam kerajaan dulu. Imej DAP, kata mereka, juga tidak sesuai untuk orang Cina. Bagi ketiga-tiga pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) itu, sama ada Anwar mahupun DAP, kedua-duanya tidak ubah macam sesumpah. Janji tidak pernah ditepati. Demikian juga dengan DAP yang mendakwa sudah putus hubungan dengan Pas tetapi menjalin pula kerjasama dengan sekutu parti itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR).

‘‘Anwar ini macam sesumpah, boleh tukar warna di depan sesiapa juga. Nanti, bila kita bangkit daripada tidur, negara sudah jadi hancur... dia tidak hairan (itu semua), hanya untuk capai dia punya objektif,” kata Keng Yaik yang ucapannya diselang-seli versi Hokkien, Kantonis dan bahasa Melayu.

Ucapan Keng Yaik berlarutan hampir sejam setelah dimulakan setengah jam awal sebelum ketibaan Abdullah. Ahli politik veteran itu seolah-olah tidak puas. “Malam masih muda,” katanya.

‘‘Kita masih ingat tak lagi (Lim) Kit Siang dengan Tanjong 1, Tanjong 2 dan 3 tapi tidak ada pula yang 4 sebab dalam Hokkien, Tanjong 4 adalah....”

Keng Yaik tidak memberikan makna empat dalam dialek Hokkien yang bermaksud ‘mati’.

‘‘Sekarang anak dia Lim Guan Eng kerjasama dengan PKR. Saya tidak tahu macam mana, bapa sudah hentam Anwar lebih 16 tahun, sekarang biar anak dia ‘kahwin’ dengan Anwar,” ujar Keng Yaik lagi.

Nada serupa diulangi oleh Ka Ting dan Tsu Koon yang menyifatkan Anwar dan DAP sukar diterima oleh komuniti Cina, khususnya Anwar yang dianggap telah mengharu-birukan pendidikan kaum Cina.

Ketiga-tiga mereka memahami bahawa Anwar cuba ‘menangguk di air yang keruh’. Sebab itu, Abdullah tidak banyak menyentuh tindak tanduk Penasihat PKR itu sebaik sahaja beliau beroleh ruang berucap.

“Semua dah dengar ucapan pasal Anwar, jadi, saya tak payahlah cakap. Dia (Anwar) tidak penting kepada saya, tidak penting kepada UMNO,” kata Abdullah.

Sebetulnya, Abdullah tidak mahu mengulas panjang lebar tentang individu itu tetapi merasakan perlu menjelaskan kedudukan sebenar bagi mengelakkan rakyat terpedaya. Kali pertama, Perdana Menteri meluahkan komen pedasnya terhadap Anwar pada satu majlis di Sekolah Kebangsaan Hashim Awang di Seberang Perai, Selasa lalu.

Tindakan Anwar memburuk-burukkan Malaysia ke negara jiran kelmarin turut menghangatkan lagi sentimen bahawa penasihat PKR itu kian terdesak menjelang kempen yang tinggal sehari ini.

Begitupun, bagi Abdullah, beliau tetap menaruh keyakinan tinggi bahawa BN akan mencapai kemenangan besar esok.

Keyakinan itu diperkuatkan dengan kekuatan manifesto BN yang mahu memastikan negara ini terus makmur dan stabil. Berbanding BN, janji-janji yang diuar-uarkan oleh pembangkang terutama DAP dan Pas, iaitu mahukan Malaysia terarah kepada negara kebajikan, dikhuatiri boleh melingkupkan ekonomi negara.

Bagi Ka Ting, ingatan beliau kepada pengundi Cina ketika melakukan lawatan ke Bilik Gerakan MCA Ipoh Barat 28 Februari lalu perlu dihayati.

‘‘MCA mempunyai kuasa politik mewakili rakyat berketurunan Cina. Itu adalah amat penting dan kita berharap pengundi memberi peluang kepada calon BN daripada MCA,” kata beliau.

Kempen Pilihan Raya Umum Ke-12 selama 12 hari (tidak termasuk hari ini) yang pada awalnya berjalan lancar tiba-tiba tercalar dek penangan permainan politik perkauman DAP. Diakui sepanjang kempen di Pulau Pinang, DAP yang diketuai Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng tidak putus-putus menyerang UMNO. Yang peliknya pula pada masa sama beliau bersikap ‘defensif’ terhadap lawannya daripada parti Cina.

Seperti mana dilabelkan oleh Keng Yaik, begitulah lagak sesumpah Guan Eng.

Di Air Itam kelmarin, Abdullah disambut dengan tepukan gemuruh daripada masyarakat Cina sebaik sahaja beliau selesai berucap pada majlis Malam Satu Hati Bersama Rakyat itu.

‘‘UMNO hidup sebab ia adil kepada semua kaum,” tegas Abdullah.

Apa pun ingatan beliau selepas menghadiri satu majlis bersama warga pendidik di Kepala Batas tempoh hari pasti tersemat utuh dalam sanubari dan fikiran 10,922,139 rakyat yang akan membuang undi esok.

‘‘(Pembangkang) Nak buat eksperimen lima tahun (perintah negara), kalau tak jadi, bukankah teruk? Risikonya tinggi dan saya harap (idea itu) tidak dapat sambutan,” tegas Perdana Menteri.

Tiada ulasan :