Ahad, 9 Mac 2008

28/02/2008

Nurul Izzah dan ibu tidak sekata

Oleh AZNAN BAKAR

APAKAH hala tuju perjuangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya umum kali ini?. Adakah niat mereka melalui manifestonya untuk memperjuangkan kesejahteraan rakyat benar-benar ikhlas atau sekadar untuk melindungi perjuangan peribadi pemimpin-pemimpinnya.

Ini kerana, belum seminggu kempen untuk Pilihan Raya Umum Ke-12 berjalan, kem PKR lebih sibuk memperkatakan mengenai nasib Penasihatnya yang juga di kenali sebagai Ketua Umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas pilihan raya nanti.

Malah Anwar awal-awal lagi telah menetapkan apa yang perlu PKR lakukan untuknya selepas pilihan raya umum ini dengan harapan beliau juga akan sama seperti ahli-ahli politik lain - digelar wakil rakyat.

Disebabkan undang-undang hanya memboleh beliau bertanding selepas April, tidak ada cara lain untuk Anwar mencapai cita-citanya, kecuali melalui pilihan raya kecil.

Untuk menjustifikasikan hasrat itu, Anwar ketika mengiringi anaknya, Nurul Izzah pada hari penamaan calon di Bangsar secara terbuka memberitahu Nurul Izzah akan memberi laluan kepadanya jika anaknya itu berjaya menewaskan penyandang kerusi Parlimen Lembah Pantai, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Malah dengan yakin Anwar berkata, isterinya yang juga Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail yang akan mempertahankan Parlimen Permatang Pauh juga sedia berbuat demikian.

Jika itulah yang menjadi matlamat PKR ketika ini, maka cukup jelas Pilihan Raya Umum Ke-12 lebih bersifat perjuangan peribadi bagi memastikan pemimpinnya kembali ke arus perdana politik negara.

Malah PKR lebih berkisar tentang cerita suami dan isteri serta anak dan bapa yang cuba mencari pengaruh untuk mengembalikan hegemoni sebuah keluarga yang kian tersisih dari pentas politik nasional.

Bagaimanapun antara suami dan isteri serta anak dan bapa itu pun ada perbezaan apabila Nurul Izzah dalam satu temu bual dengan sebuah akhbar tabloid dengan jelas menyatakan dia belum tentu akan memberikan laluan kepada Anwar jika menang di Lembah Pantai.

"Saya tidak pernah membayangkan akan ada pilihan raya kecil selepas ini.

"Saya fikir buat masa ini, adalah kurang matang untuk berkata mengenainya. Kerana akhirnya kita perlu menghormati pengundi.

"Buat masa ini tidak ada apa akan dilakukan... tiada keputusan akan dibuat kecuali ia suara majoriti penduduk Lembah Pantai," katanya dalam temu bual tersebut.

Ia sekali gus menafikan hasrat Anwar yang mahukan anaknya itu memberi laluan kepadanya.

Pendirian Nurul Izzah itu berbeza dengan ibunya Wan Azizah yang rela memberi laluan kepada suaminya itu di Permatang pauh.

"Jika saya menang, saya akan beri laluan kepada suami saya untuk bertanding di kerusi ini dalam satu pilihan raya kecil selepas beliau tamat tempoh yang ditetapkan undang-undang untuk bertanding April ini," katanya kepada pemberita selepas penamaan calon di Institut Perguruan Tunku Bainun, Permatang Pauh baru-baru ini.

Malah perkara itu dikatakan telah dipersetujui oleh pucuk pimpinan PKR sebab itu mereka berusaha keras untuk memastikan Nurul Izzah menang di Lembah Pantai dan Wan Azizah kekal di Permatang Puah.

Namun matlamat akhirnya bukan untuk membolehkan mereka berkhidmat kepada rakyat di kedua-dua kawasan Parlimen itu tetapi dengan harapan dapat melepaskannya bagi membolehkan Anwar bertanding melalui satu pilihan raya kecil.

Ada yang mendakwa niat keluarga PKR itu sebagai cubaan menipu rakyat bagi mencapai cita-cita peribadi mereka.

Tetapi Wan Azizah mempertahankan hasratnya itu dan mendakwa beliau berlaku jujur kepada pengundi apabila secara terbuka menyatakan hasratnya itu.

Cuma diharapkan pada hari pembuangan undi 8 Mac ini, pengundi cukup bijak untuk menilai sandiwara yang dimainkan oleh PKR pada pilihan raya umum kali ini.

Tiada ulasan :