Ahad, 9 Mac 2008

kes saman anwar

Anwar saman Khairy RM100 juta

KUALA LUMPUR 7 Mac - Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan saman terhadap Khairy Jamaluddin bagi menuntut ganti rugi RM100 juta kerana didakwa memfitnahnya dalam satu klip video dan artikel yang disiarkan dalam beberapa laman web termasuk Malaysiakini.com.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu memfailkan saman tersebut melalui firma guaman Tetuan S. N. Nair & Parners di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Anwar sebagai plaintif menamakan calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Rembau, Negeri Sembilan bagi Pilihan Raya Umum Ke-12 esok itu sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutannya, bekas Timbalan Perdana Menteri itu mendakwa Khairy telah mengeluarkan kata-kata fitnah yang merujuk kepada beliau semasa memberi ceramah di Lembah Pantai di sini pada atau sekitar 20 Februari lalu.

Berikutan itu, rakaman ceramah dalam bentuk klip video telah diterbitkan bersama-sama artikel bertajuk Anwar and kin no threat dalam laman web Malaysiakini.

Menurut Anwar, kata-kata fitnah itu antara lain bermaksud beliau seorang homoseksual, terlibat dalam aktiviti menyalahi undang-undang dan agama serta tidak sesuai untuk memegang jawatan politik.

Dakwa beliau, Khairy mengucapkan kata-kata fitnah itu walaupun beliau mempunyai pengetahuan spesifik bahawa plaintif telah menafikan sekeras-kerasnya perkara yang sama pada masa lalu.

Walau surat tuntutan telah diserahkan, jelas Anwar, defendan enggan meminta maaf serta terus berdegil untuk tidak menarik balik kata-kata itu.

Tindakan Khairy dengan niat agar ia diterbitkan didakwa menjejaskan karakter, kewibawaan dan reputasi plaintif selain menimbulkan kebencian dan penghinaan terhadapnya.

Sehubungan itu, Anwar menuntut ganti rugi RM100 juta, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan injunksi untuk menahan defendan atau agennya daripada menerbitkan kata-kata fitnah itu.

Tiada ulasan :