Ahad, 9 Mac 2008

kesiannyer

Tsu Koon sedia berundur

PULAU PINANG 9 Mac – Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon bersedia melepaskan jawatannya dalam parti itu ekoran kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum Ke-12.

Sambil mengumpamakan dirinya sebagai ketua pasukan yang telah gagal, Tsu Koon berkata, beliau perlu memikul sepenuhnya tanggungjawab berikutan kekalahan tersebut.

Namun, katanya, beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti Gerakan untuk membuat keputusan mengenai pengundurannya itu.

“Saya hanyalah pemangku Presiden, jadi Gerakan perlu mengadakan pemilihan dalam parti dengan segera untuk mencari pengganti saya sekiranya saya berundur.

“Ini akan memberikan sedikit masalah. Jadi kita kena berbincang dan tengok bagaimana jawatankuasa pusat serta parti menentukannya,” kata beliau pada sidang akhbar selepas bertemu dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di pejabat Ketua Menteri di sini hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 semalam, BN Pulau Pinang hanya memenangi dua kerusi Parlimen iaitu di Tasik Gelugor dan Kepala Batas serta 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Penaga, Bertam, Pinang Tunggal, Permatang Berangan, Sungai Dua, Telok Air Tawar, Seberang Jaya, Sungai Acheh, Bayan Lepas, Pulau Betong dan Telok Bahang.

Kekalahan itu merupakan sesuatu yang di luar dugaan dan menurut Tsu Koon, tiada sesiapa pun menjangkakan berlaku perubahan undi secara besar-besaran di kalangan pengundi di negeri ini.

Justeru, katanya, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan para pemimpin Gerakan lain bagi mengadakan postmortem untuk mengenal pasti faktor-faktor yang menyebabkan kekalahan BN di negeri ini.

“BN hanya mengekalkan 11 kerusi DUN dan semuanya adalah daripada UMNO. Jadi kita kena bekerjasama dengan UMNO juga,” katanya.

Mengulas mengenai projek-projek yang sedang dan dalam perancangan kerajaan di Pulau Pinang, beliau berkata, terpulang kepada kerajaan negeri yang baru untuk memutuskannya.

“Tentulah ada antara program yang dalam perancangan dan perjanjian yang telah dibuat (akan diteruskan) kecuali kerajaan negeri yang baru membuat keputusan sebaliknya,” kata Tsu Koon.

Ditanya apakah pesanan akhirnya kepada penduduk Pulau Pinang sebelum beliau menyerahkan kuasa secara rasmi kepada Guan Eng Selasa ini, Tsu Koon berkata, beliau berharap proses peralihan kuasa di negeri ini akan berjalan lancar dan efektif tanpa sebarang masalah.

Mengenai perancangannya selepas pilihan raya, Tsu Koon yang telah menjadi Ketua Menteri selama 18 tahun mahu bercuti dan berehat bersama keluarganya.

Tiada ulasan :